Pengubat duka Pearly-Thinaah

BIARPUN bergelar naib juara Indonesia Masters 2025 pada Ahad, namun ia menjadi penamat yang melegakan buat beregu campuran negara, Pearly Tan-M Thinaah.
Ia mampu menjadi pengubat duka susulan aksi hambar pada kejohanan sulung di laman sendiri, Terbuka Malaysia awal bulan ini.
Impian untuk mara lebih jauh tidak kesampaian setelah gandingan nombor tujuh dunia itu ditunjukkan jalan keluar pada pusingan pertama.
Biarpun terlepas gelaran pertama musim ini, namun Istora Senayan, Jakarta menjadi saksi emosi mereka.
Meskipun sudah memberikan yang terbaik, namun nasib tidak memihak Pearly-Thinaah apabila tumpas di tangan wakil Korea Selatan, Kong Hee Yong-Kim Hye Jeon 12-21, 21-17, 18-21.
"Saya gembira, tetapi bukan kerana kami meraih tempat kedua.
"Namun dengan permainan yang kami tampilkan hari ini (Ahad) berbanding minggu lalu pada Terbuka India dan Terbuka Malaysia," ujar Pearly.
Malah beliau turut meluahkan berasa sukar untuk bangkit selepas aksi yang mengecewakan, namun mereka enggan berputus asa untuk terus berusaha.
"Saya fikir agak susah untuk kami bangkit dengan pantas. Banyak perkara dibincangkan kerana kami bermain dengan agak buruk sebelum ini," kata Pearly.
Thinaah turut mengimbas mengenai harapan untuk permulaan tahun baharu yang indah pada Terbuka Malaysia kerana ia berlangsung di tempat sendiri, namun lain yang terjadi.
"Disebabkan gagal memulakan dengan baik, ia membuatkan kami berasa bimbang.
"Ketika latihan, kami mengharungi lebih banyak hari yang buruk berbanding baik," ujar Thinaah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!