Budak OKU tahan sakit lepas berkhatan, alami pendarahan teruk

ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran berusia 11 tahun terpaksa menahan kesakitan kerana luka pada alat sulitnya perlu dijahit semula akibat pendarahan terus selepas berkhatan di sebuah masjid di sini pada Sabtu.
Bapa kanak-kanak terbabit, Ahmad Mudzakkir Ahmad Mukri, 37, berkata, kejadian berkenaan juga menyebabkan anaknya terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Ahad.
Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai satu program berkhatan di sebuah masjid dengan bayaran RM50.
"Anak saya berkhatan sebelah petang selepas mendapat nombor giliran ke-48 daripada 50 peserta. Prosedur ini dilakukan doktor dan waris tidak dibenarkan masuk untuk melihat," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Menurutnya, setelah selesai prosedur berkhatan doktor berkenaan memintanya membawa anaknya itu pulang.
"Tidak lama selepas itu, bahagian luka pada alat sulit anak mengalami pendarahan," dakwanya.
Ahmad Mudzakkir berkata, perkara tersebut kemudiannya telah dimaklumkan kepada doktor terbabit namun dia telah diminta membawa anaknya itu ke sebuah klinik berhampiran.
"Di klinik itu, doktor membuka semula jahitan dan menjahit semula pada bahagian luka tersebut namun pendarahan masih juga berlaku.
"Doktor itu kemudian meminta saya bawa anak ke sebuah lagi klinik di Jitra di sini,"jelasnya.
Menurutnya, ketika itu darah terus mengalir keluar manakala anaknya pula kelihatan semakin lemah.
"Walaupun keadaan anak macam ini, namun saya tetap ke klinik di Jitra kerana doktor beritahu ada mesin untuk menghentikan darah," dakwanya.
Dakwanya, di klinik terbabit, doktor telah membuka semula jahitan dan meminta dia membawa anaknya ke bahagian kecemasan HSB pula.
"Di HSB, doktor beritahu akan jahit luka tersebut sebelum menjalani pembedahan pada pagi tadi (Ahad).
"Alhamdulillah, keadaan anak nampaknya baik dan masih dirawat di wad HSB," jelasnya.
Ahmad Mudzakkir mendakwa setakat ini mereka belum dimaklumkan tentang punca anaknya mengalami pendarahan yang teruk selepas berkhatan.
"Saya terkilan sebab anak saya terpaksa menahan kesakitan berulang kali.
"Masih terngiang-ngiang suara dia meraung ketika jahitan dibuka dan dijahit semula," katanya.
Tambahnya, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak terlibat.
"Tindakan ini adalah demi masa depan anak sebab kita tak tahu apa yang akan ditanggungnya nanti.
"Selain itu ia juga adalah satu peringatan agar tiada kes sama berulang lagi pada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!