[VIDEO] Isu harga belian padi: Kerajaan terbuka terima cadangan pesawah

A
A
A

KLANG - Kerajaan bersikap terbuka dalam menerima pandangan semua pihak termasuk pesawah berhubung isu belian harga padi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pesawah mempunyai hak untuk memberi sebarang cadangan menerusi memorandum yang akan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri esok.

“Tidak mengapa itu hak mereka untuk menghantar memorandum dan sebagainya dan kita akan ikuti dengan perbincangan secara intensif dengan semua pihak.

“Sampai kepada sidang Parlimen yang akan datang, kita akan buat beberapa pengumuman di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Menggulung perbahasan Pidato Presiden sempena Konvensyen Amanah 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, perbincangan lanjut sedang dilakukan KPKM bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Mohamad Sabu - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Mohamad Sabu - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

“Kita akan buat beberapa penambahbaikan, peningkatan, sekarang saya tidak umum kerana masih belum siap, (mungkin) akan umum dalam sidang Parlimen akan datang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan kira-kira 1,000 pesawah dijangka hadir ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya esok bagi menyerahkan memorandum berkaitan isu harga belian padi disifatkan amat rendah ketika ini.

Sebelum ini pesawah di negeri-negeri di utara merayu kerajaan segera mencari penyelesaian berkaitan isu belian harga padi memandangkan musim menuai akan tiba tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Ishak Taib, 60, berkata, ketika ini, ada beberapa kawasan sudah menuai dan isu itu perlu diselesaikan selewat-lewatnya dalam tempoh 10 hari.

"Ada beberapa kawasan yang sudah 'mengerat' (menuai) dan mereka hanya dibayar RM1,300 bagi satu tan metrik. Ini kes 'naya' buat mereka kerana terpaksa menanggung kerugian,” ujarnya

Di Selangor pula, kira-kira 4,000 pesawah di Sungai Besar merungut berikutan harga belian padi turun mendadak kepada RM1,400 berbanding RM1,650 per tan pada musim lalu.

Ketua Blok C16 Parit 3 1/2 Banat, Hasbullah Samsuddin berkata, penurunan harga padi menjejaskan pendapatan pesawah pada musim menuai kali ini.

Menurutnya, meskipun kualiti pengeluaran padi meningkat dan kurang risiko kepada penyakit, namun penurunan harga belian padi membebankan pesawah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!