'Bola sepak pun tak boleh urus, saya masih salahkan KFA' - Mahdzir

KERAJAAN negeri Kedah melalui Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) perlu menguruskan kembali Sang Kenari bagi mengembalikan zaman kegemilangan skuad tersebut pada pentas saingan bola sepak negara.
Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KFA dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu bertanggungjawab dan membantu Kedah Darul Aman (KDA) FC yang sedang berdepan masalah.
Menurutnya, krisis kewangan yang turut membelenggu kelab tersebut selama beberapa bulan menyebabkan para penyokong setia Sang Kenari kecewa.
“Apabila ada krisis kewangan yang berlaku dalam KDA FC, menyebabkan para penyokong tidak berasa gembira. KFA telah bagi pada KDA FC (untuk diuruskan), kelab tidak mampu uruskan tapi KFA lepas tangan, MB mempunyai kuasa kepada KFA.
“Saya tidak nampak apa yang kerajaan boleh bagi pada orang muda, bola sepak pun tidak boleh diuruskan. Saya masih salahkan KFA (jika kelab gagal beraksi pada saingan Liga Super musim depan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui selepas Perlawanan Akhir Liga Bolasepak Piala Tokdet 2024-2025 di padang Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Padang Terap pada petang Sabtu.
Mahdzir yang juga bekas Presiden KFA berkata, kutipan tiket dan penjualan jersi serta cenderahati oleh pengurusan kelab dilihat masih tidak mampu lagi untuk menjana keuntungan.
Jelasnya, kerajaan negeri perlu tampil membantu KDA FC melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) ataupun Bina Darulaman Berhad (BDB).
Sinar Harian pada Disember lalu melaporkan, Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (Kepda) masih berharap kerajaan negeri akan campur tangan membantu KDA FC yang sedang berdepan masalah kewangan.
Dakwaan pemain Sang Kenari yang tidak menerima gaji selama sembilan bulan itu dibimbangi akan memberikan kesan lebih buruk kepada kelab itu pada masa hadapan jika dibiarkan berterusan.
Pengerusi Kepda, Nor Hasmadi Hamzah berkata, penyokong setia KDA FC berharap Menteri Besar Kedah selaku Presiden KFA dapat mencari jalan membantu kelab tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!