Dulu tak pandai membaca, kini jadi jurubahasa mahkamah luar negara

Zatul Iffah yang mula membaca pada usia 11 tahun kini berjaya menjadi jurubahasa mahkamah di seluruh Australia.
Zatul Iffah yang mula membaca pada usia 11 tahun kini berjaya menjadi jurubahasa mahkamah di seluruh Australia.
A
A
A

DARIPADA berdepan masalah kesukaran membaca sehingga mencapai usia 11 tahun, seorang wanita kini berjaya bergelar jurubahasa mahkamah di Australia.

Zatul Iffah Fakharuldin, 31, mengakui bahawa keputusan akademiknya kurang memberangsangkan sewaktu di sekolah kerana tidak mahir membaca.

“Sejak kecil, saya agak nakal dan lebih banyak menghabiskan masa bermain. Saya banyak meneka semasa menjawab soalan peperiksaan dan sering mendapat keputusan gagal atau 'F'.

“Ibu bapa saya sangat kecewa dengan kad laporan yang sering ditanda merah sehingga saya terpaksa ditempatkan di kelas belakang. Mereka kemudian menghantar saya untuk mempelajari bacaan rumi dan jawi secara intensif.

“Selama mengikuti kelas tersebut, saya sering diejek rakan-rakan kerana lambat membaca.

"Dalam subjek Bahasa Inggeris pula, saya hanya mula menguasainya sekitar Tingkatan 1,” kata Zatul Iffah kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Zatul Iffah sering mendapat keputusan akademik yang kurang memberangsangkan sewaktu di sekolah kerana tidak mahir membaca.
Zatul Iffah sering mendapat keputusan akademik yang kurang memberangsangkan sewaktu di sekolah kerana tidak mahir membaca.

Namun, segalanya berubah apabila ibu bapa Zatul Iffah mendapat peluang untuk menyambung pengajian di United Kingdom (UK).

Artikel Berkaitan:

“Sejurus berpindah ke sana, saya mula menunjukkan peningkatan dalam pembelajaran.

Pendekatan pendidikan di sana lebih mengutamakan pembelajaran praktikal berbanding tumpuan sepenuhnya pada buku teks.

“Bagi saya yang agak lambat 'menangkap' ilmu, cara ini sangat membantu dalam mengejar pembelajaran.

"Kini, saya bekerja separuh masa sebagai pakar pemasaran digital di Gold Coast, Australia selain berkhidmat sebagai jurubahasa mahkamah,” ujarnya.

Zatul Iffah turut menitipkan pesanan kepada ibu bapa agar tidak mengabaikan anak-anak yang 'lambat' membaca kerana mereka mempunyai cara pembelajaran tersendiri.

“Percayalah, setiap anak itu mempunyai cara tersendiri untuk menjadi pandai. Anak yang ‘lambat’ bukan bermakna kurang bijak tetapi mungkin belum menemui kaedah pembelajaran yang sesuai buat mereka.

“Saya banyak bertemu dengan mereka yang ‘lambat’ membaca tetapi tidak pernah berputus asa. Kebanyakan daripada individu tersebut merupakan ilmuwan, malah ada yang bergelar profesor dan doktor,” kata Zatul Iffah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!