Bahtera Nuh pencetus TVET

A
A
A

Wabak penyakit koronavirus (Covid-19) menakut dan memeningkan kepala ramai doktor serta saintis. Namun dari sudut kejuruteraan, Covid-19 sebenarnya membawa satu konotasi mudah iaitu kembalilah kepada sejarah silam yang ada dalam al-Quran.

Bagi jurutera, kisah Nabi Nuh AS dan bahteranya memberi kiasan terbesar bahawa ada pengajaran tersembunyi yang ingin disampaikan ALLAH SWT. Kenapa ALLAH memerintahkan Nabi Nuh membina bahtera? Penulis percaya ALLAH sebenarnya mahu semua umat-Nya agar belajar ilmu pertukangan. Namun dalam skala yang lebih besar dan moden, saranan tersebut merujuk kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Covid-19 memberi amaran kepada jurutera di seluruh dunia bahawa mereka akan binasa dan ilmu yang ada di dada akan hilang begitu sahaja sekiranya enggan belajar daripada kisah silam Nabi Nuh.

Bahtera Nabi Nuh dikatakan mencapai saiz antara 60 dan 70 meter panjang dan lebarnya antara 25 dan 30 meter. Apakah teknologi kejuruteraan canggih yang ada 4,500 tahun lalu? Penulis yakin ALLAH sebenarnya mahu umat-Nya menggali ilmu kejuruteraan yang boleh menjadi faktor penyelamat dalam banyak keadaan. Terbukti ilmu kejuruteraan telah menjadikan sesuatu yang tampak mustahil mampu direalitikan. Misalnya, pembinaan sebuah hospital untuk menempatkan lebih 2,400 pesakit Covid-19.

Apa yang berlaku di China ketika wabak Covid-19 merebak tanpa ada ubat penawar mesti menjadi satu bahan renungan kepada semua pihak khususnya jurutera. Kisah pembinaan bahtera Nabi Nuh juga pasti ada pengajaran tersembunyi yang mesti dipelajari.

Ketika Nabi Nuh mendapat tentangan paling hebat daripada kaumnya yang berikrar tidak mahu beriman sehingga ALLAH memerintahkan dibina sebuah bahtera besar, Nuh berdoa kepada ALLAH SWT agar menurunkan pengajaran kepada kaumnya setimpal dengan perbuatan mereka sebagaimana tercatat dalam Surah Al-Qamar [10] bermaksud: “Sesungguhnya diriku telah dikalahkan oleh kaumku, maka tolong aku ya ALLAH.”

Semestinya ada penyampaian tersembunyi dalam pembinaan bahtera Nabi Nuh daripada pelbagai kayu antaranya jenis koka dan beberapa jenis kayu lain mengikut bahagian-bahagian bahtera tersebut. Bahtera tersebut siap hampir 45 tahun dan pokok koka ditanam dan matang dalam tempoh 300 tahun. Sebenarnya ada kisah tersembunyi yang boleh dipelajari dan diterapkan dalam pembelajaran TVET.

Reka bentuk bahtera Nabi Nuh tiga tingkat setinggi 10 meter itu mempunyai dinding dan daun pintu kayu. Pada bahagian tengah yang setiap ruas kayu berbeza jenisnya disambung dengan teknologi tanggam disaluti dengan sejenis gam bernama ‘tir’ mampu menahan kemasukan air selama tempoh lebih 40 hari di atas permukaan air.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai teknologi kejuruteraan baharu telah diaplikasikan Nabi Nuh ketika membina bahtera tersebut. Antaranya kejuruteraan hidrologi, apungan, bahan, marin dan perkapalan. Justeru, apakah pengajaran yang mampu disedut oleh jurutera daripada pembinaan bahtera Nabi Nuh untuk diaplikasikan dalam TVET?

Karya agung bahtera Nabi Nuh harus memberikan aspirasi kepada pembelajaran TVET. Pelaksanaan TVET secara sistematik dengan kadar nisbah 70:30 komponen praktikal dan akademik boleh melahirkan graduan berkemahiran tinggi sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Kesimpulannya, penulis percaya pembinaan bahtera Nabi Nuh dan wabak Covid-19 saling berkait. ALLAH sebenarnya menurunkan wabak untuk membolehkan manusia belajar mencari formula menangani sesuatu musibah.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor