Bekalan keperluan Tahun Baharu Cina dijamin cukup

SEREMBAN- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan memberi jaminan bekalan barangan keperluan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di negeri ini mencukupi.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, S Veerapan berkata, masyarakat di negeri ini tidak perlu bimbang malah tiada isu membabitkan kekurangan bekalan makanan di sini.
Beliau turut memberi amaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga barang sesuka hati ketika musim perayaan ini dan tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga yang ingkar.
"Kami berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
"Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini dan boleh dikenakan penalti seperti denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik selesai Walkabout Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan.
SHMMP Tahun Baharu Cina 2025 berlangsung selama sembilan hari dan sebanyak 15 jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim kali ini antaranya ikan bawal putih, udang putih, halia tua (import), babi hidup dan cili merah.
Pemantauan dan pemeriksaan harian oleh pegawai penguat kuasa dan pemantau harga KPDN di Negeri Sembilan akan dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!