Had laju Jalan Persekutuan dikurangkan 10 km/j sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR - Had laju di semua jalan Persekutuan di seluruh negara akan diturunkan daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j bermula esok hingga 2 Februari depan, sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan penurunan sementara had laju selama enam hari sepanjang Op Bersepadu itu bertujuan meminimumkan risiko kemalangan jalan raya.
"Sepanjang tempoh itu, kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara agar tidak mengganggu aliran trafik manakala kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang sebaiknya.
"Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan agar tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi dituju,” katanya.
Selain itu, bagi memastikan kelancaran lebuh raya, Nanta turut mengarahkan syarikat Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) supaya menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Januari hingga 3 Februari 2025. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!