Polis sahkan ada dadah dalam badan Xin Yuan

Hussein (tengah) bercakap kepada media selepas hadir pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Kontinjen Selangor di Plaza Tol PJS 2 pada Sabtu. Foto Bernama
Hussein (tengah) bercakap kepada media selepas hadir pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Kontinjen Selangor di Plaza Tol PJS 2 pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat kandungan dadah dalam sampel remaja perempuan, Yap Xin Yuan, 15, yang mayatnya ditemukan reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting, Selangor pada 28 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, buat masa ini polis memerlukan laporan pakar forensik untuk mengetahui sama ada jumlah kandungan dadah yang ditemukan dalam badan mangsa itu boleh menyebabkan kematian atau ada punca lain menyebabkan kematian.

"Memang ada ditemukan dadah dalam badan mangsa, namun ia tidak boleh disebabkan sebagai punca kematian. Sehubungan itu, polis masih menyiasat dan mengumpul keterangan lain bagi mengenal pasti sebab sebenar kematian remaja terbabit.

"Ini adalah proses siasatan dan ada kes yang polis siasat boleh selesaikan atau dapat mengumpul jumlah keterangan mencukupi bagi membuat pertuduhan," katanya dalam sidang media pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE).

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, ada kes yang mana polis memerlukan masa dan tidak dapat dilengkapkan siasatan dalam tempoh reman.

Jelas beliau, maksimum polis boleh menahan seseorang bagi apa-apa kesalahan hanya dalam tempoh 14 hari.

Untuk itu katanya, sekiranya ada keterangan yang tidak dapat dikumpul dalam tempoh tersebut, pihak polis tidak boleh menahan mana-mana individu lebih daripada tempoh itu.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun polis beri jamin bukan bermakna dia (suspek) tidak akan dituduh tetapi kita masih menunggu dua perkara iaitu laporan forensik dan laporan bedah siasat," ujarnya.

Beliau berkata, selepas kedua-dua laporan itu diperoleh, polis akan merujuk kembali kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dengan cadangan pertuduhan.

Jelasnya, jika pihak TPR mendapati keterangan yang ada cukup untuk dituduh, maka akan diberi arahan pertuduhan dan ia satu proses yang mana perlu difahami oleh orang ramai.

"Ada kes yang kita boleh tuduh ketika tempoh reman dan ada kes yang mengambil masa," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan antara motif yang disiasat membabitkan kematian Xin Yuan.

Kehilangan Xin Yuan sejak 19 Disember lalu terbongkar apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan reput di perangkap sampah.

Susulan itu, seorang suspek yang sebelum ini ditahan berhubung kes penemuan mayat remaja perempuan itu dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.

Suspek lelaki berumur 51 tahun sebelum itu ditahan sejak 30 Disember bersama dua lagi suspek lelaki lain berusia 16 dan 20 tahun yang diberikan jaminan dengan diikat bon mengikut Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah, iaitu kuasa mengambil bon supaya hadir di mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!