Keterangkuman, kemampanan teras kebangkitan Malaysia dan ASEAN - PM

KUALA LUMPUR - Keterangkuman dan kemampanan harus dijadikan teras dalam kebangkitan Malaysia dan ASEAN, dengan memilih perkongsian kemakmuran secara adil tanpa sesiapa pun yang terkecuali, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, di bawah kepimpinan Malaysia, blok ASEAN kekal teguh kepada prinsip kepusatan ASEAN yang bebas untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat, China, India, Eropah dan negara lain tanpa perlu memihak atau terikat dengan konflik luar.
"Alhamdulillah, misi delegasi Malaysia di empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Belgium, dan Switzerland telah berakhir.
"Saya turut menggunakan misi ini untuk menjulang hubungan erat ASEAN sebagai kekuatan bagi rantau kita,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Anwar berkata, beliau telah menanggapi satu perkara penting menerusi misi delegasi Malaysia ke empat negara tersebut yang antara lain telah memperkukuh hubungan dua hala, menarik pelaburan dan meningkatkan perdagangan.
Katanya, meskipun berdepan dengan pelbagai rencam politik, pimpinan dan rakyat negara terbabit memberi tumpuan penuh kepada ekonomi, budaya ilmu, kemahiran, ketrampilan dan kecerdasan buatan.
"Sikap ini harus kita teladani, ketimbang sepanjang masa berbicara soal titik bengik yang memecah-belah dan merugikan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!