Subsidi tol: Agih secara adil kekayaan negara, kata Shafie Apdal

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu supaya hasil kekayaan negara diagihkan secara adil termasuk untuk rakyat Sabah dan Sarawak.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah yakin jika subsidi yang diterima rakyat di Semenanjung dapat diimbangi ke Sabah dan Sarawak, ia akan lebih membantu rakyat di dua negeri tersebut.
"Saya faham apa sedang dilakukan kerajaan hari ini yang melaksanakan subsidi bersasar hanya diberikan kepada golongan memerlukan.
"Untuk sektor-sektor tertentu ini adalah langkah yang sangat baik, saya menyokong perkara itu namun ia perlu seimbang," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan mesra sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Tamu Lido di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tol percuma yang diberikan kepada rakyat di Semenanjung pada musim perayaan yang dilihat tidak adil untuk rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati subsidi itu disebabkan kedua-dua negeri tiada tol ketika ini sedangkan peruntukan yang disediakan adalah hasil wang rakyat.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu berkata lagi, walaupun penyasaran bersubsidi petrol hanya dilaksanakan di Semenanjung namun ia tetap memberi kesan kepada Sabah.
"Sebagai contoh, peningkatan harga minyak di Semenanjung ada yang mengatakan ia tidak memberi kesan kepada peringkat negeri Sabah, tetapi kesannya ada, sebab kita beli biskut dari Semenanjung, kita beli barangan dari Kuala Lumpur.
"Jadi, kos pengeluaran meningkat di Semenanjung dan apabila kami mengimport dari sana, sudah pasti kita perlu membayar harga yang lebih tinggi. Kos pengangkutan juga ditambah ke dalam kos tersebut," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata, jika ada bantuan diberikan maka kerajaan perlu melihat bagaimana konteks bersasar itu dilaksanakan.
"Harus juga dilihat bagaimana ia dapat diimbangi dan menyatukan rakyat di negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!