[VIDEO] 17 bas ekspres ada masalah teknikal, dilarang beroperasi
MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka melarang sebanyak 17 bas ekpres beroperasi pada musim perayaan ini selepas memiliki 24 kes teknikal yang boleh membahayakan penumpang.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, hasil pemeriksaan mendapati daripada jumlah itu, 13 kes merupakan masalah berkaitan tayar sekali gus yang tertinggi direkodkan.
Menurutnya, angka itu merupakan pemeriksaan bas yang dijalankan sejak 13 Januari lalu dan membabitkan sembilan buah syarikat bas ekspres yang dikesan telah melakukan kesalahan berkenaan.

Katanya, bagaimanapun bas ekpres yang mempunyai tempoh perjalanan melebihi empat jam itu akan dibenarkan beroperasi semula selepas mereka mengambil tindakan segera terhadap masalah-masalah teknikal yang telah direkodkan.
"Bas-bas yang terlibat dengan kesalahan teknikal ni tidak dibenarkan untuk bergerak sehingga mereka lulus dari segi piawaian yang ditetapkan oleh pihak JPJ."Maksudnya jika ada masalah tayar mereka perlu menukar tayar, kalau ada masalah tekanan brek mereka perlu membaikinya sebelum dibenarkan beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Pemeriksaan Bas sempena Tahun Baharu Cina di Terminal Melaka Sentral di sini, pada malam Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Zahari Abd Kalil dan Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau berkata, lebih 200 bas ekspres yang beroperasi sepanjang musim perayaan kali ini telah menjalani pemeriksaan ketat di lima depoh yang ditetapkan.

"Selain aspek teknikal, pemeriksaan juga meliputi kesalahan lalu lintas termasuk saman, kompaun lesen dan cukai jalan," katanya lagi.
Ujarnya, dalam tempoh operasi yang bermula 20 Januari hingga 9 Februari depan, telah menahan seorang pemandu berusia 30-an selepas dikesan positif melalui ujian saringan air kencing pada Khamis.
"Pemandu yang akan membawa penumpang menuju ke utara itu kemudian ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan seterusnya," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

