Bantuan Kasih bantu hampir 1,000 anak yatim piatu akibat Covid-19

Ismail Sabri (kiri) ketika melawat keluarga Na Ai Tin, 43, di Taman Yayasan di sini sempena program Ziarah Kasih.
Ismail Sabri (kiri) ketika melawat keluarga Na Ai Tin, 43, di Taman Yayasan di sini sempena program Ziarah Kasih.
A
A
A

JENJAROM - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) mengeluarkan dana menerusi Bantuan Kasih sebanyak RM3 juta setahun bagi menjaga kebajikan hampir 1,000 anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka akibat pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, YKM akan mula mengkreditkan Bantuan Kasih ini kepada semua penerima yang layak pada tanggal 30 hari bulan pada setiap bulan.

Jelasnya, dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah YKM pada Disember tahun lalu bersetuju untuk memberi secara bulanan kepada semua penerima yang layak agar setiap penerima dapat menggunakan bantuan tersebut dengan sebaiknya tanpa perlu menunggu satu tempoh lama.

“Insya-ALLAH pada 30 Januari ini dan pada tarikh yang sama setiap bulan, bantuan akan dikreditkan secara dalam talian.

"Bantuan Kasih ini akan disalurkan kepada hampir 1,000 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM3 juta setahun dan jumlah ini dijangka meningkat kerana kita masih menerima borang permohonan baharu dan dalam proses tapisan," ujarnya.

Ismail Sabri (kiri) ketika melawat Na Ai Tin (tiga dari kanan) di Taman Yayasan di Jenjarom di sini sempena program Ziarah Kasih pada Jumaat
Ismail Sabri (kiri) ketika melawat Na Ai Tin (tiga dari kanan) di Taman Yayasan di Jenjarom di sini sempena program Ziarah Kasih pada Jumaat

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui ketika melawat Na Ai Tin, 43, di Taman Yayasan di sini sempena program Ziarah Kasih.

Program Ziarah Kasih itu turut mendapat tajaan daripada pasar raya besar terkemuka iaitu AEON BiG.

Ai Tin yang kehilangan suami, Tan Heeng Kooi akibat pandemik Covid-19 pada Ogos 2021 merupakan salah seorang daripada seramai 16 penerima berketurunan Cina di seluruh negara yang menerima bantuan khas perayaan Tahun Baharu Cina.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mereka menerima sumbangan sebanyak RM300 melalui pembayaran secara dalam talian.

Mengulas lanjut mengenai Bantuan Kasih, Ismail Sabri turut memaklumkan, anak-anak yang berusia sehingga 15 tahun menerima RM200 setiap bulan menerusi Bantuan Kasih bermula tahun ini.

Jelasnya, bagi yang berusia 17 hingga 18 tahun hingga tamat pengajian ijazah pertama pula akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM250.

"Kaedah pembayaran bantuan baharu secara bulanan ini melihatkan peningkatan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM400 kepada RM2,400 bagi kategori A dan kategori B sebanyak RM500 kepada RM3,000," ujarnya.

Sebelum ini, katanya, anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun manakala remaja yang berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun.

Beliau menambah, pemohon yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat melalui e-mel dan aplikasi WhatsApp.

"YKM juga ingin menyeru orang ramai yang terkesan akibat Covid-19 untuk menghubungi di talian 03-2202 7493 atau emel ke admin@yayasankeluargamalaysia.org.my

bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya mengikut syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan YKM" tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!