Pas hipokrit, tak layak cakap soal antirasuah - AMK

KUALA LUMPUR - Kenyataan dikeluarkan Pemuda Pas untuk turut serta pada Himpunan Rakyat Benci Rasuah Sabtu ini dianggap hipokrit dan munafik.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha Salahudin berkata, Pas bukan parti layak bercakap berkaitan antirasuah apabila turut terpalit kes mahkamah berkaitan politik wang.
"Umum mengetahui bahawa terdapat dua kerusi Parlimen iaitu Kemaman dan Kuala Terengganu yang dimenangi oleh Pas pada PRU15 lalu telah dibatalkan oleh mahkamah kerana telah dibuktikan terdapat unsur rasuah kepada pengundi.
"Jelas terbukti bahawa Pas bukanlah parti yang layak untuk bercakap soal itu sedangkan Pas sendiri mengamalkan dan menghalalkan perbuatan rasuah," dakwanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Ketua Penerangan AMK Setiawangsa itu berkata, Pas juga didakwa mengeluarkan hukum dan fatwa untuk kepentingan kuasa serta kedudukan politik mereka.
"Pemuda Pas dinasihatkan supaya cermin diri dan buktikan Pas menolak rasuah dengan membersihkan perasuah yang ada dalam parti tersebut," katanya.
Pada Khamis, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar memberitahu, pihaknya akan turut serta dalam himpunan itu sebagai tanda menyokong penuh demi Malaysia lebih cemerlang.
Khairul Nadzir berkata, ia manifestasi hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi dijamin Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
Ujarnya, sudah menjadi tanggungjawab rakyat dan pembangkang untuk memastikan agenda reformasi serta ketelusan terus diperjuangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!