Penumpang, kru kapal MV Genting Dream tiada gejala Covid-19

Seramai 350 penumpang dan 230 krew kapal MV Genting Dream yang berlabuh di Boustead Cruise Centre (BCC), Pelabuhan Klang, tidak menunjukkan gejala koronavirus (Covid-19).
Seramai 350 penumpang dan 230 krew kapal MV Genting Dream yang berlabuh di Boustead Cruise Centre (BCC), Pelabuhan Klang, tidak menunjukkan gejala koronavirus (Covid-19).
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ujian saringan kesihatan ke atas 678 penumpang dan 445 kru kapal MV Genting Dream yang berlabuh di Boustead Cruise Centre (BCC), Pelabuhan Klang mendapati kesemua mereka tidak menunjukkan gejala Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu adalah setakat jam 10 malam ini dan pasukan kesihatan dari Kementerian Kesihatan(KKM) masih menjalankan ujian saringan kesihatan terhadap kesemua penumpang dan anak kapal sebaik ia tiba kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

“Mana-mana penumpang yang bergejala akan diletakkan di bawah pemantauan di atas kapal atau di pusat kuarantin BCC untuk pemeriksaan lanjut,” katanya selepas melancarkan Inisiatif Kesihatan Mental Universiti Malaya di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kapal itu tidak pernah singgah atau melewati China.

Jelasnya kapal itu yang membawa keseluruhan 957 penumpang dan 1,701 kru dijadual pulang semula ke Singapura jam11 malam ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dua rakyat Malaysia iaitu pasangan suami isteri yang berada di atas kapal Diamond Princess di Jepun yang disahkan positif Covid-19 berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Fujita di Nagoya.

Pasangan suami isteri masing-masing berusia 71 tahun dan 67 tahun itu disahkan positif pada 16 Februari lalu.

Beliau berkata, seorang lagi penumpang warganegara Malaysia iaitu wanita berusia 61 tahun, telah disahkan negatif jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang ke Malaysia oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun setelah menjalani kuarantin selama 14 hari.

Artikel Berkaitan:

“Seorang lagi warganegara Malaysia yang juga salah seorang krew kapal persiaran itu masih dalam pemantauan di dalam kapal oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun,” katanya

Kapal persiaran itu telah menjalani kuarantin bermula 4 Februari lalu di salah satu pelabuhan di Jepun selepas ujian pengesanan COVID-19 mengesahkan terdapat penumpang dijangkiti virus tersebut.

Menurut laporan media antarabangsa, sehingga hari ini, daripada 3,700 orang penumpang yang dikuarantin dalam kapal itu, lebih 620 orang telah diuji positif bagi Covid-19 dengan dua kematian dalam kalangan mereka yang dijangkiti turut dilaporkan.- Bernama