Pemerintah tolak penempatan rakyat Palestin ke Indonesia

Anis Matta. Foto Agensi
Anis Matta. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Indonesia menolak cadangan supaya negara itu menerima penduduk Gaza, Palestin untuk ditempatkan di negaranya menyusuli laporan yang mendakwa bahawa pasukan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sedang menimbangkan langkah kontroversi itu.

Timbalan Menteri Luarnya, Anis Matta menegaskan bahawa sehingga kini, Indonesia tidak pernah terlibat dalam sebarang rundingan untuk menempatkan penduduk Gaza di negaranya.

"Pada dasarnya kita tidak boleh menerima pemindahan penduduk Gaza ke sini, ini kerana usaha pembinaan semula bukan alasan yang wajar untuk melaksanakan cadangan ini (menempatkan penduduk Gaza di Indonesia)," katanya kepada wartawan di Istana Presiden di Jakarta pada Rabu.

Beliau turut memaklumkan bahawa belum ada perbincangan rasmi antara pihak Amerika Syarikat dengan Indonesia berkaitan cadangan ini.

Sebaliknya, ujarnya, Indonesia lebih menumpukan kepada penghantaran bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza selepas gencatan senjata yang telah mengakhiri konflik antara Israel dan Hamas.

“Setakat ini, belum ada perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut. Insya-ALLAH, kami akan teruskan penghantaran bantuan. Kami kini sedang mengatur hal teknikal berkaitan penyaluran bantuan kemanusiaan. Itu sahaja yang sedang kami lakukan,” ujarnya lagi.

Sebelum ini Indonesia disebut sebagai salah satu lokasi yang sedang dipertimbangkan untuk menempatkan penduduk Gaza apabila pembangunan semula Gaza mula dijalankan.

Dilaporkan Indonesia menjadi rumah untuk sebahagian daripada 2 juta penduduk Gaza di Indonesia. -Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!