Khianat bakar rumah, polis buru individu disyaki along

Video tular halaman rumah pengadu terbakar selepas dibaling botol plastik berapi.
Video tular halaman rumah pengadu terbakar selepas dibaling botol plastik berapi.
A
A
A

GOMBAK - Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat mengesan dan memburu suspek bertindak membakar sebuah rumah di Desa Jaya, Kepong, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya mengesan satu video tular pada Selasa memaparkan seorang individu menampal kertas disyaki notis ugutan dan membaling satu botol plastik berapi ke arah halaman rumah.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati kejadian khianat itu berlaku jam 4.55 petang.

Sehubungan kejadian itu, kata beliau, pihaknya menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 tahun.

"Kejadian itu berpunca daripada hutang yang dibuat oleh adik pengadu dengan pihak peminjam wang disyaki along, berdasarkan notis ugutan yang ditampal pada pagar rumah.

"Adik pengadu telah meninggal dunia pada Disember 2024 di Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

"Selain itu, mereka juga boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Faris Nur Shuhaini di talian 017-3166051 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!