Juruteknik didakwa 110 pertuduhan perdaya pelaburan padang futsal

Mohd Narshidi diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
Mohd Narshidi diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang juruteknik pendawaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 110 pertuduhan memperdaya seorang pembantu operasi di sebuah sekolah bagi urusan pelaburan perniagaan padang futsal, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Narshidi Mohd Nor, 45, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Majistret Muhamad Izwan Mohamed Noh dan Teoh Shu Yee.

Berdasarkan pertuduhan pertama sehingga 110, tertuduh didakwa memperdayakan pembantu operasi berusia 58 tahun dalam pelaburan perniagaan padang futsal yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM543,850.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu melalui 110 transaksi Public Bank di Jalan Laksamana dan Ayer Keroh antara 15 Mac hingga 30 Julai 2017 dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, tertuduh yang diwakili peguam Kalvinder Kaur merayu agar jumlah jaminan rendah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menanggung tiga anak, isteri serta ibu bapa dan mentua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal, Anis Najwa Nazari dan Raudhah Mazman.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM116,400 selain menetapkan 13 April depan untuk tarikh sebutan semula serta serahan dokumen.

Artikel Berkaitan: