KDN integrasi AI tingkatkan integriti, penyampaian

PUTRAJAYA - Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan langkah mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara berperingkat pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, AI yang kini menjadi alat luar biasa dilihat mampu untuk meningkatkan integriti dan penyampaian perkhidmatan lebih cekap kepada rakyat.
"Bermula Januari ini, penggunaan AI telah dilaksanakan sebagai salah satu elemen kawalan sempadan di pintu masuk negara dengan memperkenalkan kod QR dan pengecaman wajah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Johor," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Expo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Asia (AISSE) 2025 di sini pada Rabu.
Menurutnya, kementerian mengambil segala input dan pandangan daripada penyertaaan antarabangsa dalam persidangan tiga hari yang bermula Isnin lalu.

"IA adalah suatu perkara yang saya anggap mengkagumkan dan tentunya pemantauan AI adalah antara menjadi keutamaan," jelas Saifuddin.
Kerajaan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan kod QR khusus untuk rakyat Malaysia bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.
Penggunaan kod QR di balai ketibaan serta balai pelepasan KLIA itu merupakan langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.
Antara kelebihan penggunaan kod QR ialah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.
Sementara itu ditanya mengenai cadangan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil agar rangkaian 5G khusus lebih selamat disediakan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau menyambut baik perkata itu.
“Saya sudah mengadakan beberapa siri perbincangan awal dengan Fahmi dan gembira untuk itu.
"Jadi buat masa ini, saya hargai dan sambut baik gesaan supaya kita memanfaatkan 5G,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!