Kes bunuh Cikgu Istiqomah pindah ke Mahkamah Tinggi
ALOR GAJAH - Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis memerintahkan kes bekas guru yang berdepan tuduhan membunuh Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi pada Disember 2023 dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Dr Teoh Shu Yee mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri untuk memindahkan kes yang dihadapi Mohd Fadzly Ariffadzilah, 37, ke Mahkamah Tinggi.
Mohd Fadzly didakwa melakukan bunuh terhadap Istiqomah di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang dalam daerah Alor Gajah antara 26 dan 31 Disember 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pada prosiding 23 Disember 2023, mahkamah diberitahu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat mangsa telah diperoleh.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan mayat tanpa identiti ditemui dalam keadaan tidak berpakaian, hanya beralaskan kain di bawahnya disyaki seorang perempuan berusia antara 20 hingga 30-an.
Selain itu anggota badannya tidak cukup iaitu kepala, kedua-dua tangan dan kaki dipercayai telah dipotong.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kehilangan seorang guru wanita sejak lapan bulan, akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mayat tidak lengkap ditemui pada 31 Disember 2023 adalah, Istiqomah Ahmad Rozi,33.
Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terdapat mayat tanpa identiti itu mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
