Bagaimana nasib pengundi Borneo?

Gambar hiasan. Foto Bernama (Gambar kecil dari kiri: Dayang Hania Rafei, Amanda Fenniellie, Dayang Nur Najwa Abang Yusop, dan Nadzliyatul Mohd Rudi)
Gambar hiasan. Foto Bernama (Gambar kecil dari kiri: Dayang Hania Rafei, Amanda Fenniellie, Dayang Nur Najwa Abang Yusop, dan Nadzliyatul Mohd Rudi)
A
A
A

PENGUNDI dari Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia sehingga kini terpaksa pulang ke negeri asal mereka untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi.

Jarak perjalanan melebihi 1,000 kilometer melalui udara dan kos perjalanan mencecah sehingga RM3,000, ia menjadi halangan besar bagi sesetengah rakyat untuk melaksanakan hak mereka sebagai pengundi.

Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia di luar negara perlu mempunyai hak sama mengundi dalam pilihan raya, ibarat mereka di tanah air.

Beliau turut membangkitkan isu undi pos bagi rakyat Malaysia di luar negara dengan mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak hanya bergantung pada pengundian menerusi kedutaan.

SPR sebaliknya menggunakan mekanisme lain untuk memudahkan rakyat datang mengundi walaupun ia memerlukan pertambahan dana.

Namun timbul persoalan mengenai usaha penambahbaikan sistem pengundian dalam negara, khususnya bagi rakyat Sabah dan Sarawak tentang kelonggaran mengundi melalui undi pos.


SOKONG

Lebih mudah, tak perlu hadir undi secara fizikal

Saya bersetuju sekiranya undi pos dilaksanakan kerana ia akan memudahkan rakyat yang tinggal di luar negeri, terutama bagi rakyat Borneo untuk membuang undi.

Artikel Berkaitan:

Dengan adanya kaedah berkenaan, pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka tanpa perlu hadir secara fizikal di pusat mengundi, sekali gus memberikan kemudahan yang lebih besar.

Akhir sekali, pengenalan undi pos juga dapat meningkatkan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kerana mereka tidak perlu hadir secara fizikal di pusat pengundian yang mungkin menjadi halangan bagi sesetengah individu.

- Pegawai Tadbir, Dayang Hania Rafei, 29.

Jimat kos, kurang beban

Pada pandangan saya sebagai anak kelahiran Sabah yang kini tinggal di semenanjung pastinya bersetuju dengan pelaksanaan undi pos kerana ia akan memudahkan urusan pengundian, menjadikannya lebih cepat dan efisien.

Ia dapat membantu menjimatkan kos kerana pengundi tidak perlu lagi pulang ke kampung halaman mereka yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

Dengan ada cara seumpama ini, beban pengundi dapat dikurangkan sekali gus membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dengan lebih mudah.

- Penjawat awam, Amanda Fenniellie, 35


BANGKANG

Pengundian berganda atau pengaruh luar yang boleh memanipulasi

Pertama, wujud kebimbangan tentang kemungkinan penyalahgunaan undi pos seperti pengundian berganda atau pengaruh luar yang boleh memanipulasi proses.

Tanpa pengawasan ketat di pusat pengundian, ia boleh merosakkan integriti sistem pilihan raya.

Seterusnya, sistem ini mungkin tidak sepenuhnya selamat dari segi kerahsiaan undian. Pengundi mungkin terdedah kepada tekanan atau pengaruh pihak lain yang boleh menjejaskan kebebasan mereka dalam membuat keputusan.

- Kerani, Dayang Nur Najwa Abang Yusop, 27

Bimbang undi tak sampai

Saya tidak menyokong pelaksanaan undi pos kerana terdapat keraguan terhadap amanah diberikan. Ia turut menimbulkan kebimbangan di mana kaedah ini mungkin tidak sampai seperti sepatutnya.

Selain itu, ada juga kemungkinan berlakunya kerosakan pada kertas undian yang boleh menjejaskan ketepatan dan keabsahan proses pengundian.

- Juruukur Bahan, Nadzliyatul Mohd Rudi, 27

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!