KOM kena kemukakan alasan kukuh untuk tambah jurulatih

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) perlu memberi alasan konkrit bagi menambah jurulatih asing sedia ada daripada tiga kepada enam orang.
Ia bagi membolehkan Majlis Sukan Negara (MSN) menilai dan membuat keputusan tepat berhubung penambahan jurulatih tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) MSN, Jefri Ngadirin berkata, keputusan tidak boleh dibuat secara terburu-buru, sebaliknya perlu perbincangan lanjut bersama KOM.
"Ia melibatkan keperluan. MSN tidak boleh terus bersetuju dengan idea KOM sebaliknya perlu duduk semeja berbincang lebih terperinci bagi melihat kepentingan menambah jurulatih baharu.
"KOM ada minta enam dan kita bersetuju dengan tiga jurulatih sewaktu perbincangan JKK (jawatankuasa kerja) bulan lalu. Lagi tiga nama, mereka perlu buat rayuan kepada kita," katanya.
Pengarah Teknikal KOM, Robert Ballard pada Disember lalu memaklumkan mahu mendapatkan khidmat jurulatih asing sebagai persiapan kem olahraga ke Sukan SEA Thailand akhir tahun ini.
Justeru Jefri meminta KOM membuat penyelarasan mengenai penambahan tiga jurulatih itu dan keperluan mengikut acara.
"Pengarah teknikal KOM perlu fikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah itu," katanya.
Sebagai rekod, jawatan jurulatih pecut negara masih kosong selepas MSN dan KOM bersetuju tidak menyambung khidmat Mohd Poad Md Kassim yang tamat kontraknya hujung tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!