Menyamar pelancong elak dicekup pegawai Imigresen

Operasi dijalankan menahan seramai 176 PATI di sekitar kawasan ini.
Operasi dijalankan menahan seramai 176 PATI di sekitar kawasan ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menyamar sebagai pelancong antara taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mengelak ditahan ketika serbuan pihak berkuasa sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang di sini pada Rabu.

Individu berumur lingkungan 30-an itu pada mulanya cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di lokasi berkenaan.

Lelaki itu kemudiannya mendakwa kononnya baru tiba di negara ini dan ke kawasan sekitar Jalan Alor untuk membeli cenderahati ketika pulang ke negaranya kelak.

Pegawai Imigresen Kuala Lumpur menahan beberapa PATI yang dikesan di sekitar kawasan Jalan Alor dalam Ops Sapu pada Rabu.
Pegawai Imigresen Kuala Lumpur menahan beberapa PATI yang dikesan di sekitar kawasan Jalan Alor dalam Ops Sapu pada Rabu.

Bagaimanapun helah individu terbabit terbongkar setelah pemeriksaan mendapati dia merupakan pekerja di salah sebuah gerai di kawasan itu selain turut didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Selain itu, terdapat juga beberapa warga asing asing yang tidak mempunyai dokumen sah bertindak bersembunyi, namun tindakan itu berjaya digagalkan pasukan operasi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi bermula jam 7.30 petang itu melibatkan pegawainya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel Berkaitan:

Pegawai Imigresen Kuala Lumpur memeriksa dokumen warga asing yang ditahan dalam Ops Sapu sekitar kawasan Jalan Alor pada Rabu.
Pegawai Imigresen Kuala Lumpur memeriksa dokumen warga asing yang ditahan dalam Ops Sapu sekitar kawasan Jalan Alor pada Rabu.

Beliau berkata, operasi dijalankan menahan seramai 176 PATI di sekitar kawasan ini.

"Kesemua PATI ditahan terdiri daripada 156 lelaki dan 20 wanita.

"Antara ditahan melibatkan individu warga Bangladesh seramai 71 orang diikuti Myanmar (60), Indonesia (24), Nepal (16), Pakistan (3), Mesir (1) dan Sudan (1)," katanya selepas Ops Sapu KL Strike Force di sini pada Rabu.

Kesemua individu ditahan ini dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk tindakan selanjutnya.
Kesemua individu ditahan ini dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memiliki permit atau pas yang sah untuk tinggal di negara ini serta tinggal lebih masa.

"Tindakan diambil di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua individu ditahan ini dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, operasi dijalankan susulan aduan serta rungutan masyarakat berhubung kebanjiran warga asing di kawasan ini.

"Kawasan sekitar Jalan Alor ini merupakan lokasi tumpuan pelancong luar serta tempatan, lambakan warga asing di kawasan ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengunjung.

"Operasi serta penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan warga asing serta majikan mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!