Dua maut, empat lagi terselamat ketika mandi di pantai

Seorang wanita dan anak saudaranya manakala empat lagi ahli keluarga mereka terselamat dalam kejadian lemas di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai Kota Tinggii, pada petang Selasa. Foto JBPM
Seorang wanita dan anak saudaranya manakala empat lagi ahli keluarga mereka terselamat dalam kejadian lemas di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai Kota Tinggii, pada petang Selasa. Foto JBPM
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang wanita dan anak saudaranya maut manakala empat lagi ahli keluarga mereka terselamat dalam kejadian lemas di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai di sini, pada petang Selasa.

Dua mangsa tersebut ialah Siti Fatimah Jaafar, 33, dan Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu semua mangsa dipercayai mempunyai pertalian keluarga.

"Seorang wanita berusia 33 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara 10 hingga 13 turun ke kawasan pantai untuk mandi sebelum semua mereka dihanyutkan air laut.

"Menyedari situasi tersebut, seorang lelaki berumur 60 tahun yang juga mempunyai pertalian persaudaraan telah mencuba untuk membantu namun naik semula ke pantai disebabkan ombak kuat.

"Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan malam Selasa.

Katanya, dua daripadanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kota Tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Polis Kota Tinggi menasihati orang ramai yang mengunjungi kawasan pantai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti rekreasi air memandangkan keadaan laut bergelora serta ombak yang boleh menyebabkan kejadian lemas," ujarnya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrudin berkata, seramai 15 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan pacuan empat roda Hilux dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Ketika pasukan tiba di lokasi, mereka mendapati enam mangsa sedang bertarung nyawa akibat lemas ketika mandi-manda di pantai.

"Dengan bantuan orang awam, pasukan penyelamat segera melaksanakan operasi menyelamat menggunakan jaket keselamatan dan tali," katanya.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.05 malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!