Lelaki disyaki pukul bekas kekasih ditahan

LANGKAWI - Seorang lelaki yang didakwa memukul bekas teman wanitanya di sini sehingga mengakibatkan kecederaan telah direman empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, penjawat awam tersebut telah ditahan pada Isnin.
Menurutnya, lelaki tersebut ditahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
"Suspek telah direman selama empat hari sehingga 24 Januari bagi membantu siasatan," katanya pada Rabu.
Pada Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun bukan sahaja mengalami kerugian lebih RM300,000 kerana terpedaya dengan janji manis malah mendakwa turut menjadi mangsa pukul bekas teman lelakinya sehingga cedera.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Jihan dan merupakan anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' mengalami trauma selepas dipukul lelaki itu sehingga cedera di leher, kaki, dan lebam di mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!