Covid-19: Sektor pelancongan mungkin terima bantuan kewangan

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Lincoln Universiti College 2020 di IDCC Shah Alam hari ini. -Foto Bernama
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Lincoln Universiti College 2020 di IDCC Shah Alam hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mungkin menyalurkan bantuan berbentuk kewangan kepada pemain industri pelancongan bagi merangsang sektor tersebut supaya tidak terlalu terjejas susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) hampir di seluruh dunia sekarang ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ia susulan sektor pelancongan dilihat mengalami kerugian jutaan ringgit ekoran pembatalan tempahan hotel, pakej pelancongan dan tiket penerbangan yang ketara akibat penurunan kemasukan pelancong ke negara ini.

“Kita sedang menghadapi masalah penurunan kemasukan pelancong hingga mengakibatkan sumber ekonomi juga menurun. Namun, pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan oleh kerajaan kelak akan dimanfaatkan sebaiknya oleh kementerian ini untuk membantu sektor terlibat.

“Setakat ini, apa jenis bantuan yang boleh disalurkan (kepada pemain industri pelancongan), kita sedang teliti. Mungkin melibatkan aspek kewangan. Namun, berapa jumlah yang akan diagihkan, kita akan lihat secara terperinci,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, Mohamaddin dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti oleh Kolej Universiti Lincoln pada majlis konvokesyen institusi itu di Pusat Konvensyen Ideal di sini.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pro Canselor kolej universiti berkenaan, Profesor Datuk Dr Bibi Florina Abdullah.

Ditanya sama ada pakej rangsangan ekonomi kerajaan itu mampu mencapai visi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, Mohamaddin berkata, kementeriannya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana wabak Covid-19 adalah masalah global.

“Apabila berlakunya masalah global seperti ini, pelancong akan menjadi takut untuk keluar melancong ke negara lain. Jadi, ini mungkin menyebabkan kita tidak menepati sasaran jumlah kemasukan pelancong bagi kempen TMM2020,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan wabak Covid-19 di China, kerajaan pada 27 Januari lepas memutuskan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara itu dari wilayah Hubei termasuk bandar Wuhan.

Jumaat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan bahawa pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari ini bukanlah belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar-dasar Bajet 2020 tetapi merupakan bantuan kepada industri yang terjejas. - Bernama