Siasatan HRD Corp libatkan dakwaan unsur jenayah

Azam bercakap pada sidang media mengenai perkembangan siasatan kes-kes berprofil tinggi di Ibu Pejabat SPRM pada Selasa. Foto Bernama
Azam bercakap pada sidang media mengenai perkembangan siasatan kes-kes berprofil tinggi di Ibu Pejabat SPRM pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Siasatan kes berkaitan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) dijalankan melibatkan unsur jenayah yang didakwa berlaku dalam pengurusan agensi terbabit.

Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dijalankan pihaknya merangkumi empat isu berdasarkan laporan audit yang dikeluarkan.

"Siasatan dijalankan melibatkan jenayah dan bukan berkaitan hal laporan audit, laporan dikeluarkan itu sekadar panduan untuk siasatan.

"Dalam siasatan dijalankan ini, ia memfokuskan kepada kemungkinan berlaku unsur-unsur jenayah di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2008 atau Kanun Keseksaan seperti kesalahan melibatkan pecah amanah atau sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar perkembangan kes-kes terkini yang disiasat SPRM di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa.

Sinar Harian pada 9 Disember lalu melaporkan SPRM menafikan pihaknya menutup siasatan kes berkaitan HRD Corp yang dijalankan sebelum ini.

Azam berkata, perkara itu timbul berikutan satu laporan portal mendakwa seorang pegawainya memaklumkan bahawa siasatan berkaitan HRD Corp telah ditutup.

Menurut beliau, secara amnya pihaknya telah membuka beberapa fail siasatan terhadap HRD Corp.

Julai lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengarahkan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood membuat laporan kepada SPRM selaras dengan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 dan PAC.

Steven menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!