SPRM nafi siasatan HRD Corp ditutup

SPRM menafikan pihaknya menutup siasatan kes berkaitan HRD Corp yang dijalankan sebelum ini - Gambar hiasan, gambar kecil: Azam Baki
SPRM menafikan pihaknya menutup siasatan kes berkaitan HRD Corp yang dijalankan sebelum ini - Gambar hiasan, gambar kecil: Azam Baki
A
A
A

PETALING JAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pihaknya menutup siasatan kes berkaitan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) yang dijalankan sebelum ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara ini timbul berikutan satu laporan portal mendakwa seorang pegawainya memaklumkan bahawa siasatan berkaitan HRD Corp ini telah ditutup.

"Saya tidak pasti dari sudut mana pegawai itu merujuk kepada isu ini, tetapi secara amnya kami telah membuka beberapa fail siasatan terhadap HRD Corp.

"Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk memaklumkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa kemungkinan pegawai terbabit merujuk kepada salah satu fail.

Beliau berkata demikian ketika perasmian penutup Hari AntiRasuah Antarabangsa di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Kelana Jaya pada Isnin.

Menurutnya, siasatan terhadap kes ini masih berjalan dan melibatkan pelbagai aspek, termasuk perolehan serta pelaburan.

"Kesemua siasatan ini masih di bawah penyiasat dan keputusan akhirnya akan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya.

"Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mungkin hanya menumpukan kepada satu aspek, namun siasatan SPRM merangkumi pelbagai sudut yang lebih luas," katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan bahawa SPRM tidak menemui sebarang salah laku dalam HRD Corp dan tiada kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Julai lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Berikutan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengarahkan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood membuat laporan kepada SPRM selaras dengan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Steven Sim menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

SPRM juga akan meneliti keseluruhan dokumen bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!