RM9 juta peruntukan latihan percuma OSH-C

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memperuntukkan RM9 juta dalam Program Latihan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan (OSH-C) bagi melatih 10,000 pekerja daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara, secara percuma.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, program itu akan dilaksanakan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bertujuan membantu menyediakan latihan percuma kepada para majikan PKS untuk melahirkan seorang pekerja terlatih sebagai OSH-C berdaftar atau penyelaras keselamatan.

"Ia juga perlu mematuhi kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 mewajibkan majikan mempunyai lima atau lebih pekerja untuk melantik atau menggaji seorang yang terlatih sebagai OSH-C berdaftar.
"Untuk memohon mereka boleh menghubungi melalui talian hotline, mengunjungi pejabat dan laman web NIOSH," katanya.
Beliau berkata demikain kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Program ASEAN Safety And Health Workers Summit (ASEAN OSH SUMMIT 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kesuma l, Datuk Norison Ramli dan Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen.
Sementara itu, mengenai program latihan pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan (OPFA) dilaksanakan pada tahun lalu, Steven Sim berkata, lebih 11,000 pemberi pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan direkodkan dan jumlah itu melangkaui sasaran awal sebanyak 10,000.
Ujarnya, kursus berkenaan dilaksanakan oleh NIOSH dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan membolehkan peserta memberi pertolongan berkenaan kepada rakan sekerja mereka dengan segera.
"Sudah pasti mereka bukan doktor, jadi mereka boleh dikatakan sebagai orang pertama untuk bertindak segera sebelum merujuk ke pihak berkaitan.
"Masalah mental adalah satu isu menular bukan sahaja di tempat pekerjaan, malah dalam kalangan masyarakat secara amnya khususnya ketika pandemik Covid-19 dan mereka yang berdepan pelbagai tekanan hidup.
"Jadi kita lihat ada keperluan iaitu konsep keselamatan dan kesihatan pekerjaan berkenaan tidak terhad kepada isu-isu fizikal, isu-isu keselamatan dan kesihatan fizikal tetapi juga menjurus kepada isu-isu kesihatan mental," katanya.
Ketika ditanya mengenai perlaksanaan gaji minimum RM1,700 pada Februari depan, beliau turut mengingatkan majikan bahawa gaji minimum berkenaan tidak harus dilihat sebagai gaji permulaan khususnya kepada graduan.
"Ia bukan gaji untuk pekerja yang berkemahiran tinggi ia merupakan satu gaji asas kepada pekerjaan yang mungkin memerlukan kemahiran lebih rendah ataupun pekerjaan lebih asas,” katanya
Jelasnya, berdasarkan statistik sebanyak 4.3 juta pekerja akan memanfaatkan gaji minimum RM1,700 dan daripada jumlah itu sebanyak 80 peratus adalah pekerja warga tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!