Tular ‘private island’ di Langkawi bakal dijual lebih RM9 juta

Video memaparkan sebuah pulau persendirian yang terletak berdekatan Pulau Langkawi yang ingin dijual tular di Tik Tok sejak Isnin.
Video memaparkan sebuah pulau persendirian yang terletak berdekatan Pulau Langkawi yang ingin dijual tular di Tik Tok sejak Isnin.
A
A
A

LANGKAWI - Tular di Tik Tok video dimuat naik seorang perunding hartanah memaparkan sebuah pulau persendirian yang terletak berdekatan Pulau Langkawi yang ingin dijual sejak Isnin.

Melalui hantaran video dimuat naik di akaun TikTok Tuan Faizul Hartanah, pulau tersebut dikenali sebagai Pulau Jemurok di Ayer Hangat, Langkawi.

Perunding hartanah, Faizul Hakimi Affendi mengesahkan pulau persendirian tersebut ingin dijual pada harga RM49.50 untuk setiap kaki persegi dengan anggaran jumlah keseluruhan lebih RM9 juta.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia bukanlah melibatkan keseluruhan Pulau Jemurok, sebaliknya hanya sebahagian daripada pulau persendirian itu.

"Di atas pulau terbabit, terdapat tiga lot tanah persendirian dan hanya sebahagian pulau dengan keluasan 1.695 hektar itu ingin dijual.

"Pemilik memang ingin menjual sebahagian pulau yang merupakan tanah persendirian milik beliau," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, pulau yang mempunyai status tanah rizab Melayu itu terletak tidak jauh dari Mangrove Langkawi Geopark.

"Sehubungan itu, perjalanan dari Jeti Kubang Badak ke pulau berkenaan dengan menaiki bot hanya mengambil masa 5 hingga 7 minit sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, pulau persendirian berpegangan bebas itu sememangnya sesuai untuk pelaburan atau membina resort mewah.

Faizul daripada syarikat perunding hartanah Chester berkata, video pulau persendirian di Langkawi tular dipercayai disebabkan ia ingin dijual pada harga RM49.50 untuk setiap kaki persegi.

"Bagaimanapun, mungkin ada yang tidak perasan lalu menyangka pulau persendirian hanya ingin dijual pada RM49.50 sahaja.

"Kebanyakannya terkejut, ada berkata takkan lah harga pulau persendirian hanya RM49.50 menyebabkan ia tular," katanya.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama empat tahun dalam bidang terbabit berkata, ia kali pertama dia menjual hartanah berbentuk pulau persendirian.

Sebelum ini, video berdurasi 1 minit itu telah meraih 437,000 tontonan dan lebih 18,400 tanda suka di TikTok.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!