PKBM yakin Malaysia sudah temui kombinasi hebat

KEJAYAAN Mohd Fadhil Zonis muncul juara pada ASEAN Track GP President Cup Championships 2025 Series 2 meyakinkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) betapa Malaysia bakal mempunyai dua pelumba keirin yang hebat.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh mengaku sangat bangga dan terharu dengan kejayaan terbaharu Mohd Fadhil yang berjaya menamatkan kemarau empat tahun tanpa sebarang kejuaraan dalam acara keirin.
Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) percaya Malaysia akan kembali ke landasan asal iaitu memiliki dua pelumba keirin yang boleh memenangi kejuaraan pada bila-bila masa sahaja.
“Sebelum ini Malaysia ada Josiah (Ng) dan Datuk Mohd Azizulhasni (Awang). Mereka berjaya di Sukan Olimpik 2004 di Athens, Sukan Olimpik 2016 di Rio (De Janeiro) dan Sukan Olimpik 2020 (Tokyo, Jepun).
“Selepas itu, kombinasi kuat Malaysia diteruskan dengan Datuk Azizulhasni dan Mohd Shah Firdaus (Sahrom). Mereka cipta banyak kejayaan ketika berlumba bersama. Shah juga melangkah ke pusingan acara keirin di Sukan Olimpik 2024 di Paris (Perancis).
“Jadi selepas Datuk Azizulhasni ‘bersara’, saya mencari-cari kombinasi terbaharu. Dengan kejayaan terbaharu dicipta oleh Mohd Fadhil, saya yakin Malaysia akan kembali memiliki dua pelumba keirin yang hebat,” katanya pada Selasa.
Secara keseluruhan, Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) memuji persembahan Mohd Fadhil dan Nurul Izzah Izati Mohd Asri pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) Siri Satu dan Dua.
“Saya nampak ada kesungguhan dan kekuatan tersendiri dalam diri Mohd Fadhil. Selepas kalah kepada pelumba Korea Selatan (Kang Seojun) di Siri Trek ASEAN (Piala Presiden), beliau tunjukkan kekuatan sebenar pada Siri Dua.
“Begitu juga dengan Nurul Izzah Izati. Sekalipun beliau tidak dapat memberikan kejayaan berganda kepada PKBM, namun saya puji kesungguhan beliau. Beliau muncul juara pada Series 1 dan berjaya meraih pingat perak pada Siri Dua.
“Namun, kita nampak ada sinar baharu juga dalam kem wanita negara. Nur Alyssa (Mohd Farid) berjaya menyaingi Nurul Izzah Izati dan pelumba Korea (Kim Haeun)," katanya.
Nurul Izzah Izatti muncul juara acara elit keirin wanita pada Siri Dua Bagaimanapun, kalah kepada Haeun pada perlumbaan Siri Dua.
Pada masa yang sama, Amarjit yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) turut memuji sikap pelumba negara berani menyahut cabarannya menjadikan kejohanan yang baru berakhir sebagai medan memburu mata ditawarkan dalam kalendar UCI.
Beliau berharap kejayaan tersebut akan diteruskan pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2025 (ACC 2025) yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada 21 hingga 27 Februari depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!