Penoreh getah cederakan adik guna besi kuku kambing didenda RM4,000

REMBAU - Mahkamah Majistret di sini pada Selasa menjatuhi hukuman denda RM4,000 terhadap seorang penoreh getah selepas mengaku bersalah mencederakan adiknya tahun lalu.
Tertuduh M Moduh, 52, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Tertuduh turut berdepan hukuman 12 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap adik lelakinya yang berusia 41 tahun dengan cara menggunakan besi kuku kambing.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 16 Julai tahun lalu di Mukim Chengkau, Rembau pada jam 4.10 petang.
Sehubungan itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zainuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
