Mekanik ditahan belasah anjing guna besi

IPOH - Polis menahan seorang mekanik selepas tindakannya memukul seekor anjing menggunakan besi di sini tular di media sosial.
Lelaki warga tempatan berusia 42 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 3 petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di Persiaran Tasek Timur 1, Taman Ria sekitar jam 8 malam pada Sabtu.
Menurutnya, saksi yang tinggal berhampiran rumah suspek memaklumkan, pada malam kejadian telah mendengar bunyi bising di luar rumah dan mendapati lelaki terbabit sedang memukul seekor anjing.
"Saksi yang merakam kejadian itu telah memberi video tersebut ke Page Malaysian Dogs Deserve Better untuk memberi pengajaran kepada orang ramai.
"Video berdurasi 43 saat itu jelas menunjukkan suspek memukul anjing tersebut menggunakan besi," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati anjing yang dipukul adalah haiwan peliharaan milik suspek dan mempunyai lesen yang sah.
Katanya, berdasarkan keterangan diberikan, suspek bertindak memukul anjing tersebut kerana haiwan tersebut telah menggigitnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Binatang 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Semakan kesalahan lampau menunjukkan, suspek mempunyai empat rekod jenayah dan 17 kesalahan berkaitan jenayah narkotik," katanya.
Haiwan tersebut telah diselamatkan Jabatan Veterinar Perak bagi tujuan rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

