Papan pemotong kotor antara kesalahan dikesan JKNK

GUA MUSANG - Papan pemotong kotor yang boleh meningkatkan risiko pencemaran dan mencampur aduk bahan mentah dalam peti sejuk beku adalah antara kesalahan dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam pemeriksaan premis makanan di daerah ini pada Rabu.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, disebabkan premis makanan terlibat juga tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan, pihaknya telah mengarahkan tujuh pemilik untuk menutup perniagaan selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
"Pemeriksaan itu melibatkan premis-premis makanan di sekitar Bandar Lama, Bandar Baru, Bandar Utama, Bandar Felda Chiku 3 dan kawasan KESEDAR Paloh 1 dan Paloh 2.

"Pemilik yang tidak mematuhi perintah penutupan premis makanan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, selain itu sebanyak 63 notis kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Ujarnya, daripada jumlah itu sebanyak 38 notis telah dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi kehendak berhubung dengan pakaian pengendali makanan.
Dr Zaini berkata, selebihnya melibatkan kesalahan seperti tidak mematuhi kehendak berhubung dengan penyimpanan makanan dan sebagainya.

"JKNK sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini bagi memastikan tahap kebersihan premis sentiasa berada dalam keadaan memuaskan.
"Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

