Dua remaja India pilih silat

Dua beradik, Yashvini dan Thilesh jatuh cinta dengan silat dan mula meniti kejayaan dalam seni bela diri tersebut.
Dua beradik, Yashvini dan Thilesh jatuh cinta dengan silat dan mula meniti kejayaan dalam seni bela diri tersebut.
A
A
A

KUANTAN - Tertarik melihat latihan berhampiran rumah, dua remaja India yang juga adik-beradik di sini mula jatuh cinta dan mempelajari ilmu persilatan Melayu sejak tahun lepas.

Yashvini Nair Raja Kumaran, 17, dan Thilesh Nair, 9, dari Batu 6, Sri Damai Perdana kini antara pelatih di Perguruan Silat Gerak Langkacitra Kuantan sejak Jun lepas, mula meniti kejayaan dalam pelbagai kejohanan di sekitar Pahang.

Menurut Yashwini, dia mula mempelajari seni bela diri itu selepas mendapat ajakan adiknya yang juga murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Indera Mahkota yang sangat berminat menyertai latihan di gelanggang tersebut.

"Latihan dekat dengan rumah dan adik berminat dan saya temankan dia berlatih dan dari situ turut tertarik untuk sama-sama berlatih dengan pelatih lain.

Kejayaan yang dicapai Yashwini ketika muncul juara dalam Kejonanan Silat Polisas Jemputan IPT dan Remaja 2024. Foto ihsan Yashvini
Kejayaan yang dicapai Yashwini ketika muncul juara dalam Kejonanan Silat Polisas Jemputan IPT dan Remaja 2024. Foto ihsan Yashvini

"Dan kami bertuah kerana ibu, S Parameswari, 46, memberikan lampu hijau dan sokongan penuh untuk menyertai silat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau itu, setakat ini dia telah menyertai pelbagai kejohanan dan muncul juara Kelas E, silat olahraga di Kejohanan Silat Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Jemputan IPT dan Remaja Pahang 2024.

Artikel Berkaitan:

"Malah adik, Thilesh juga muncul juara kategori F/G Pra Tunas Putra di Kejohanan Silat Tunas Harapan Pahang dan Jemputan Pesaka di Temerloh baru-baru ini," jelas anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Yashvini berkata, sejak mempelajari silat, dia bersama adiknya menjadi lebih disiplin dan fokus selain berat badannya mula turun hingga 10 kilogram (kg) iaitu 56kg berbanding 66kg sebelum ini.//////

Yashwini (dua, kanan) bersama Thilesh (dua, kiri) ketika menjalani latihan bersama pelatih lain. Foto ihsan Rasmaira
Yashwini (dua, kanan) bersama Thilesh (dua, kiri) ketika menjalani latihan bersama pelatih lain. Foto ihsan Rasmaira

Menyimpan hasrat bergelar pesilat negara, Yashvini turut menghargai sokongan jurulatih, Nor Faizal Abdul Rahim yang mesra dengan panggilan ayah serta jurulatih dan pelatih lain yang sudi berkongsi ilmu persilatan.

Ibunya, Parameswari tidak membantah anak-anaknya mempelajari seni bela diri tersebut kerana menyedari minat dua beradik itu.

"Janji ada minat, tidak guna halang dan semua satu bangsa Malaysia dan saya pun gembira dengan sokongan yang diberikan terhadap anak-anak saya," katanya yang kehilangan suami sejak tiga tahun lepas.

Sementara itu, salah seorang jurulatih, Rasmaira Farissa Hamdan, 25, memberitahu, walaupun terdapat sedikit masalah komunikasi namun dia memuji komitmen yang diberikan oleh dua beradik tersebut sepanjang latihan.

Jelasnya, perguruan terbabit tidak mengenakan sebarang yuran dan kini memiliki 50 pelatih.

"Latihan diadakan setiap hari Khamis dan Jumaat selama dua jam bermula jam lima petang dan Sabtu pula sebanyak dua sesi dijalankan iaitu petang dan malam," tambahnya.

Setiausaha Agung Persatuan Silat Negeri Pahang (Pesaka Pahang), Datuk Osman Nok menyifatkan ia sesuatu yang positif bagi perkembangan seni bela diri itu dalam kalangan kaum bukan Melayu di negeri tersebut.

"Kita memang menggalakkan lebih ramai kaum bukan Melayu menyertai dan mempelajari seni bela diri ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!