Rasuah RM600,000, dua individu termasuk timbalan pengarah ditahan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan reman dua orang individu termasuk seorang timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM600,000.
Sumber berkata, rasuah tersebut diterima daripada syarikat pelabur sebagai balasan membantu memudahkan syarikat-syarikat itu mendapatkan kelulusan yang dipohon.

Kata sumber, perintah reman selama enam hari sehingga Ahad telah dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa.
"Kedua-dua suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 5.30 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan," katanya pada Selasa.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2019 sehingga 2024.
Jelasnya, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank sebuah syarikat perunding yang berperanan sebagai orang tengah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!