Pahang bina 37 masjid, semarak majlis ilmu

KUANTAN - Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membina 37 masjid dengan kos lebih RM117 juta di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, 18 masjid telah selesai dibina dan diguna, 15 dalam pembinaan manakala empat lagi di peringkat reka bentuk dan ukur tanah.
Menurutnya, sebanyak 28 masjid telah dinaik taraf sebagai masjid daerah yang ditanggung sepenuh kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.
"Selain membina, kerajaan negeri turut mengimarahkan masjid di negeri ini dengan majlis-majlis ilmu.
"ia termasuk Kelas Takmir Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dikendalikan 463 guru takmir.
"Terdapat 1,173 lokasi premis ditakmir di negeri ini terdiri masjid, surau, agensi dan penjara," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Terdahulu beliau hadir menyaksikan majlis penyerahan Masjid Kampung Telok Ira, Temerloh yang selesai dibina dengan kos RM2.7 juta.
Syed Ibrahim berkata, terdapat juga kelas Briged Penceramah Negeri Pahang di bawah kelolaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dengan 342 orang guru di 417 masjid dan 50 surau.
"Briged Al Quran Negeri Pahang pula ada 88 guru di 76 masjid dan 12 surau.
"Kita ada 12 guru turath Pahang di 12 masjid dan 25 guru hafiz al-Quran untuk 25 masjid," katanya.
Jelasnya lagi, Masjid Negeri Daerah dan Qaryah juga diimarahkan melalui Program Pengajian Agama Islam (Tafaqquh Fiddin) Negeri Pahang di bawah Yayasan Pahang yang telah memberi manfaat kepada 4,269 peserta.
"Kelas itu juga turut diadakan di Kaherah Mesir dengan 700 penuntut mengikutinya.
"Kerajaan negeri juga menerima dan mengadakan majlis khusus dan umum bersama Ulama dari Universiti Al-Azhar, Syam, Mekah, Maroko, Yaman, Madinah, Syria dan sebagainya.
"Sepanjang tahun lalu, hampir 100 progrem keagamaan telah dilaksanakan sekaligus ni menjadi bukti Islam terus disemarakkan di Pahang," ujar beliau.
Jelasnya, dasar kerajaan negeri, setiap pengajar wajib membawa aliran yang jauh dari unsur kesesatan, perpecahan dan provokasi buruk.
"Mereka juga mesti berpegang dan berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah Asysirah Matrudiah, bermethodologi Imam Junaidi al Baghdadi dan Al Ghazali serta tidak berbau Haraki Ikhwan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!