AGC fail larangan bersuara Titah Adendum

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, untuk mendapatkan perintah larangan bersuara atau gag order bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi media berkata, permohonan itu difailkan melalui e-Filing pada 7.45 malam.
Sementara itu, peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib, 71, mengesahkan perkara sama.
Semasa prosiding yang berlangsung dalam kamar di hadapan Hakim, Hayatul Akmar Abdul Aziz, mahkamah menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman secara dalam talian pada 11 Mac depan.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pekan itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.
Sebelum ini, Najib meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.
Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun, pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!