230 banduan Palestin dibuang negeri

GAZA CITY - Lebih 230 banduan Palestin yang dihukum penjara seumur hidup atas serangan yang membunuh rakyat Israel, bakal dibuang negeri susulan pembebasan mereka dalam sebahagian daripada pertukaran tahanan di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza.
Israel telah menerbitkan senarai 734 banduan, daripada jumlah keseluruhan 737 yang dikatakan akan dibebaskan semasa fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang bermula pada Ahad.
Menurut senarai itu, lebih 230 banduan yang dihukum penjara seumur hidup kerana melakukan atau mengambil bahagian dalam serangan maut terhadap rakyat Israel, dibuang negeri secara kekal.
Lebih 1,000 lagi rakyat Palestin yang ditahan Israel sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang, juga akan dibebaskan semasa gencatan senjata awal 42 hari.
Perjanjian yang dirundingkan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat, bertujuan untuk menamatkan perang lebih 15 bulan di Genting Gaza antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas.
Dua sumber Hamas terlibat dalam rundingan itu menyatakan bahawa Israel bersetuju untuk membebaskan 296 rakyat Palestin yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup semasa fasa pertama perjanjian itu manakala 236 daripadanya akan dihantar terutamanya ke Qatar atau Turkiye sejurus dibebaskan.
Fasa pertama perjanjian itu melibatkan pembebasan sejumlah kira-kira 1,900 rakyat Palestin sebagai pertukaran kepada 33 tebusan Israel yang ditahan di Gaza.
Gencatan senjata itu dijangka membolehkan lonjakan dalam bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza dan meletakkan asas bagi gencatan senjata kekal dan pembebasan semua tebusan Israel dan asing yang masih tinggal, berjumlah 91, masih ditahan di Gaza.
Tentera Israel mengatakan bahawa 34 daripada baki tebusan di Gaza disahkan meninggal dunia.
Tiga tebusan yang semua wanita, telah dibebaskan lebih awal pada hari Ahad sebagai sebahagian daripada perjanjian itu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!