Srim terima sumbangan RM15,000 pada Majlis Ihtifal

SEKOLAH Rendah i-Musleh (Srim) menerima sumbangan berjumlah RM15,000 pada Majlis Ihtifal Srim 2024 di Bukit Beruang, Melaka baru-baru ini.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim menyumbangkan RM10,000 sebagai bantuan awal kepada Srim manakala RM5,000 disumbangkan Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT) Melaka.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut merasmikan majlis pada malam yang penuh gemilang itu bagi meraikan pelajar cemerlang Srim dari segi akademik, kokurikulum, sahsiah dan disiplin.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa majlis ihtifal tersebut merupakan satu manifestasi usaha dan komitmen Srim dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga seimbang dalam sahsiah dan nilai akhlak.
“Tema majlis ini menekankan pembangunan holistik amat bertepatan dengan aspirasi pendidikan kita hari ini iaitu untuk melahirkan insan yang mampu berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Penghargaan juga kepada guru-guru yang bertungkus-lumus mendidik anak-anak. Jasa dan pengorbanan mereka tidak ternilai harganya.
“Begitu juga kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan padu kerana pendidikan berkualiti bermula dari rumah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan murid-murid agar menjadikan pencapaian sebagai motivasi untuk terus maju dan berusaha dengan lebih tekun pada masa hadapan.
“Ingatlah kejayaan bukan diukur pada keputusan akademik semata-mata, tetapi juga pada keupayaan kita menyumbang kepada masyarakat dengan nilai-nilai murni yang diamalkan.
“Oleh itu, marilah kita semua berganding bahu dalam memastikan sistem pendidikan terus berkembang maju,” ujarnya.
Sementara itu, Guru Besar Srim, Abdul Rashid Sarmani dalam ucapannya turut berkongsi perkembangan positif sekolah yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

“Jumlah pelajar kini mencecah 420 orang. Kami menghadapi cabaran besar termasuk keperluan dana untuk membeli bangunan sekolah yang kini masih disewa,” katanya.
Turut hadir Naib Yang Dipertua BAKIT Melaka, Syahizam Mohamed Diah; Yang Dipertua IKRAM Melaka, Dr. Aizaini Maarof dan Pengerusi Lembaga Pengarah Edu Insaniah, Abdul Aziz Omar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

