Kos haji antara RM15,000 hingga RM33,300

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bayaran haji bagi kumpulan B40 dan M40 tahun ini naik 20 peratus susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan perkhidmatan di Tanah Suci.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, kadar bayaran melibatkan jemaah haji muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah suci tersebut buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada tahun lalu.
Ujar beliau, bayaran haji kumpulan M40 pula ialah RM23,500 berbanding RM19,152 seorang pada tahun lalu.
"Jemaah muassasah kumpulan T20 perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang.
"TH telah dapat mengekang peningkatan bayaran bagi musim haji tahun ini, di mana kos haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Pengumuman Kos Haji, Bayaran Haji dan Bantuan Kewangan Haji 1446H di Menara TH Tun Razak pada Isnin.
Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilapor berkata, penetapan sama ada kos bagi mengerjakan haji meningkat atau kekal akan diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, perkara berkenaan dalam peringkat akhir perbincangan dan akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dimuktamadkan sebelum diumumkan.
Agihan surat tawaran kepada mereka yang layak juga akan dibuat selepas pengumuman berkaitan kos mengerjakan haji.
Menurut Syed Hamadah, pihaknya melakukan pelbagai usaha dalam mengekang peningkatan kos haji tahun ini termasuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan.
"Harga penginapan di Tanah Suci juga telah meningkat dengan mendadak akibat daripada pembangunan pesat di Makkah dan Madinah.
"Namun, TH telah berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal.
"Kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci merangkumi 87 peratus dari kos keseluruhan dan adalah di luar kawalan TH," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

