Bekas kakitangan PAIP didenda RM15,000 kemuka dokumen tuntutan palsu

Tertuduh dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya di hadapan hakim. Foto hiasan
Tertuduh dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya di hadapan hakim. Foto hiasan
A
A
A

KUANTAN - Bekas kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana mengemukakan dokumen palsu tuntutan bayaran bagi kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman berjumlah RM10,340, lima tahun lepas.

Mohd Nizar Zainun, 43, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Sazlina menjatuhkan hukuman denda RM7,500 atau penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda bagi setiap pertuduhan. Tertuduh membayar denda.

Mohd Nizar yang sebelum ini Ketua Jabatan Divisyen Perkhidmatan Korporat dituduh secara tidak jujur menggunakan satu dokumen sebagai tulen bagi tuntutan kerja menyediakan makan dan minum berhubung satu program berjumlah RM4,400.

Bapa kepada empat orang anak itu juga didakwa secara tidak jujur menggunakan satu dokumen sebagai tulen bagi tuntutan kerja menyediakan makan, minum serta peralatan berkaitan untuk peserta kursus berjumlah RM5,940.

Dia dituduh melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di pejabat pengurusan PAIP, di sini pada 30 Disember 2021 dan 28 Februari 2022 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadli Mohd Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Amzarul Khuderi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!