UMNO bakal dominasi Perak pada PRU16

PELANTIKAN 26 pemimpin parti Kerajaan Perpaduan sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Perak awal tahun ini dilihat memberi gambaran kesediaan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Daripada 26 individu itu, seramai 18 orang merupakan pemimpin akar umbi dalam kalangan UMNO, diikuti Amanah (empat), PKR (tiga) dan DAP, hanya seorang.
Walaupun tiada kenyataan rasmi dibuat mengenai pelantikan tersebut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, namun akaun media sosial mereka yang dilantik sudah dihujani dengan ucapan tahniah daripada penyokong dan ahli parti di kawasan masing-masing.
Menurut Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong merangkap Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, antara peranan akan dimainkan pegawai khas tersebut ialah menyelaras aduan awam, permohonan infrastruktur dan keperluan masyarakat di kawasan DUN.
Selain itu, mereka berperanan membantu pembangunan sosioekonomi masyarakat, menguruskan pembasmian kemiskinan dan menyelaraskan bantuan bencana, selain perlu melaksanakan arahan berkaitan Pejabat Menteri Besar Perak serta memantau projek-projek utama di kawasan DUN termasuk menyelaras peruntukan kawasan DUN masing-masing mengikut kebijaksanaan dan pertimbangan mereka.
Melihat kepada pelantikan itu, kesemua yang diberi tanggungjawab tersebut akan menjalankan tugas seperti penyelaras DUN kerana kawasan diwakili merupakan kerusi dimenangi oleh pembangkang pada PRU15.
Jika diteliti, pelantikan itu boleh dilihat sebagai bayangan pengagihan kerusi yang bakal diterima parti-parti Kerajaan Perpaduan jika mereka meneruskan kerjasama pada PRU16.
Berdasarkan senario itu, UMNO paling untung kerana memperoleh 18 kerusi daripada 26 kerusi DUN tambahan yang menjadi idaman dalam kalangan parti kerajaan, selain kerusi sedia ada yang telah dimenangi.
Jumlah kerusi yang banyak itu boleh menjadi cerminan terhadap dominasi parti untuk menguasai kerajaan jika berjaya menang PRU16. Calon juga boleh ditampilkan dengan pelbagai variasi.
Jika pelantikan pegawai khas jadi ukuran, kedudukan Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO Perak, Sarah Syazwani Saari boleh dikatakan selamat apabila masing-masing diberi tanggungjawab menjaga DUN Alor Pongsu serta DUN Bota.
‘Orang lama’ seperti Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat pula ditugaskan menjaga DUN Gunung Semanggol yang kini diterajui Ketua Pembangkang, Razman Zakaria.
Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff pula diamanahkan menjaga DUN Kubu Gajah. Jadi, tidak hairanlah jika respons Razman terhadap lantikan itu kurang disenangi kerana menganggap ia menafikan fungsi ADUN pembangkang di kawasan tersebut.
Bagi parti-parti PH pula, walaupun wakil daripada DAP hanya seorang dilantik Pegawai Khas Menteri Besar Perak, namun pemilihan Badrul Hisham Badarudin menjaga kawasan DUN Changkat Jong yang ditandingi pada PRU15, menyaksikan parti itu akan menambah kerusi lagi pada PRU16, selain 18 kerusi DUN sedia ada yang dimenangi.
Cuma agak malang bagi PKR yang hanya diberikan tiga orang kuota sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Perak untuk kawasan DUN Sungai Manik, DUN Kuala Sepetang dan DUN Kuala Kurau, menyebabkan mereka tidak banyak pilihan untuk meletakkan calon dalam kalangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan sayap wanita.
Empat pemimpin Amanah Perak termasuk Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi diberikan kawasan pernah dimenangi sebelum ini iaitu DUN Manjoi, DUN Titi Serong, DUN Pasir Panjang dan DUN Kamunting.
Namun, di sebalik lantikan di kawasan-kawasan DUN berkenaan, nasib tidak menyebelahi MCA dan MIC yang merupakan rakan komponen BN apabila mereka seolah-olah dipinggirkan tanpa sebarang lantikan sebagai penyelaras DUN.
Sama ada pelantikan itu adil atau sebaliknya, ia perkara kedua namun keberanian Saarani melantik pegawai khas dalam kalangan pemimpin PH membuktikan keseriusan BN untuk bekerjasama pada PRU16 kelak.
Jika formula kerusi itu kekal diguna pakai pada PRU akan datang, tidak mustahil bagi Kerajaan Perpaduan kekal membentuk kerajaan sekiranya tiada sabotaj daripada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati kerana tidak mendapat kerusi diinginkan atau peluang menjadi calon hanya tinggal angan-angan.
*Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!