Covid-19: Dua warga emas meninggal dunia di Iran

Iran mencatatkan kes kematian pertama dan kedua akibat jangkitan Covid-19 di rantau Asia Barat. - Foto AFP
Iran mencatatkan kes kematian pertama dan kedua akibat jangkitan Covid-19 di rantau Asia Barat. - Foto AFP
A
A
A

TEHRAN - Dua warga emas dilaporkan meninggal dunia di Iran selepas positif wabak koronavirus (Covid-19) semalam.

Mangsa ialah warganegara Iran dan tinggal di Qom, sebuah bandar pusat pengajian Islam di selatan Tehran.

Kes kematian pertama berlaku di Asia Barat itu antara 2,125 orang di seluruh dunia terkorban akibat virus tersebut setakat pagi ini.

Menurut agensi berita IRNA, memetik jurucakap Kementerian Kesihatan, Kianoush Jahanpour sebagai berkata, jangkitan Covid-19 itu dikesan terhadap dua warga emas yang mempunyai masalah imuniti.

Bagaimanapun, Ketua Unit Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan, Mohammad Mehdi Gouya berkata, kedua-dua warga emas mendapatkan rawatan dua hari lalu selepas mengalami penyakit pernafasan kronik.

"Kedua-duanya berasal dari Qom dan mereka tidak pernah ada sejarah pergi ke luar negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Sains Perubatan di bandar Qom, Mohammadreza Ghadir memberitahu, penyebaran Covid-19 terkawal dan mahu rakyat Iran tidak bimbang mengenainya.

Pesakit yang disyaki memiliki simptom jangkitan itu akan segera menjalani proses kuarantin di dua hospital di negara itu. - CNA

Artikel Berkaitan: