Facebook, TikTok, WhatsApp, Telegram lubuk scammer - Fahmi

TUMPAT - Kerajaan mendedahkan platform Facebook, TikTok, WhatsApp serta Telegram menjadi lubuk scammer yang paling kerap digunakan untuk memperdayakan rakyat di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, kebanyakan mereka yang menjadi mangsa kepada scammer ditipu melalui Facebook.
"Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersil terdapat 13 atau 14 bentuk scam berbeza yang berlaku dalam media sosial.

"Tetapi ada juga jenayah scam yang berlaku secara melalui panggilan telefon ataupun bersemuka. Jadi ada pelbagai bentuk, sebagai contoh di TikTok bentuk penipuan yang kerap dilakukan ialah melibatkan akaun bantuan kerajaan," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Program Ihsan Komuniti Madani di Kampung Baru Nelayan di sini pada Isnin.
Menurut beliau, perkara itu kelihatan benar apabila penjenayah meminta mangsa supaya mengisi maklumat peribadi seterusnya menghantar semua butiran tersebut kepada mereka.
Fahmi memberitahu, melihat isu terbabit semakin serius, pihak kerajaan telah mengambil beberapa tindakan untuk melesenkan platform media sosial dengan menetapkan beberapa perkara termasuk memberi takrif kepada jenayah scam melalui pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia yang telah diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara baru baru ini.
Ujarnya, dengan meletakkan takrif scam ini kerajaan percaya ia dapat membantu polis dan juga pihak-pihak yang lain untuk mengambil tindakan lebih tegas dalam usaha mengurangkan jenayah terbabit daripada terus berlaku.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak kementerian telah memohon satu kempen besar-besaran dilakukan dengan cara menyantuni sekolah untuk memberi penjelasan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, guru-guru serta murid berusia bawah 13 tahun supaya jangan buka akaun media sosial.
"Mereka yang berusia 13 tahun ke atas pula apakah cara terbaik memanfaatkan media sosial dengan selamat untuk mengelak menjadi mangsa scam dan memastikan data peribadi kekal selamat.
"Kita akan mulakan dalam masa tidak terlalu lama. Saya telah minta Kementerian Komunikasi menyelaras dan bukan hanya dalam kalangan agensi tetapi juga dengan platform media sosial yang telah, sedang dilesenkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

