Trump tarik balik pengharaman TikTok di AS

WASHINGTON - TikTok kembali beroperasi di Amerika Syarikat (AS) sejak Ahad selepas negara berkenaan mengharamkan seketika penggunaan aplikasi berkenaan atas alasan keselamatan data negara.
Susulan perkhidmatan aplikasi sosial popular itu kembali dibenarkan, TikTok memuji tindakan bakal Presiden AS, Donald Trump yang menarik semula pengharaman aplikasi tersebut walaupun pentadbiran Presiden sedia ada, Joe Biden memaklumkan kerajaan tidak pernah menguatkuasakan sebarang larangan.
Dalam satu kenyataan di X, TikTok memaklumkan perkhidmatan aplikasi itu kini dalam proses pemulihan.
“Kami berterima kasih kepada Trump kerana memberikan jaminan diperlukan kepada penyedia perkhidmatan ini bahawa mereka tidak akan berdepan sebarang ancaman penalti selepas lebih 170 juta rakyat Amerika menggunakan TikTok,” tulisnya.
Sebelum ini, TikTok yang dimiliki oleh syarikat China ByteDance telah dihentikan operasi pada 18 Januari lalu, susulan kebimbangan mengenai kemungkinan data rakyat AS disalahgunakan pihak China.
Pada masa sama, Trump turut berjanji untuk mengeluarkan perintah eksekutif menangguhkan larangan penggunaan TikTok demi memberi masa kepada syarikat pemilik aplikasi berkenaan, ByteDance menjual pegangan subsidiari AS kepada pembeli bukan asal China.
Beliau menyeru kerajaan AS dalam satu catatan di platfrom Truth Social, turut mengambil bahagian dalam mengambil alih sebahagian pegangan pemilikan saham TikTok.
“Saya mahu AS mempunyai pemilikan 50 peratus saham dalam satu perjanjian usaha sama dengan Tiktok kerana nilai aplikasi tersebut boleh melonjak sehingga mencecah ratusan bilion dolar atau mungkin trilion.
“Dengan ini, kami akan membenarkan semula penggunaan TikTok,” katanya yang sebelum ini menyokong larangan aplikasi berkenaan semasa penggal pertama beliau memegang jawatan Presiden AS.
Sementara itu, TikTok yang kembali dalam talian di AS bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap saranan Trump menyeru kerajaan negara itu memiliki sebahagian pegangan saham aplikasi berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

