Penganggur tidak mengaku sebabkan kematian nelayan

BUTTERWORTH - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang nelayan pada 8 Januari lalu.
Tertuduh, Mohd Rezuan Ab Jalil, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nor Azah Kasran selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, Mohd Rezuan didakwa dengan niat telah menyebabkan kematian Rodzi Mohd Tahir, 47, di hadapan Masjid Mini Haji Othman, Kuala Muda, Penaga antara jam 6.30 pagi hingga 6.25 petang pada 8 Januari lalu.
Dua didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala tiada peguam mewakili tuduh.
Ketika prosiding Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan jika tawarkan RM15,000 seorang penjamin dan lapor diri dua minggu sekali.
Nor Azah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti diminta DPP.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 21 Februari depan.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan dua lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kematian seorang nelayan yang ditikam berhampiran Pasar Bisik Kuala Muda, di Penaga pada minggu lalu.
Difahamkan, polis menerima panggilan daripada Hospital Kepala Batas memaklumkan menerima seorang lelaki berusia 47 tahun dalam keadaan parah akibat ditikam di bahagian rusuk kiri.
Mangsa dikatakan dibawa ke hospital berkenaan oleh ahli keluarganya selepas ditikam suspek berusia 41 tahun menggunakan sebilah pisau.
Dipercayai pergaduhan antara mereka bermula dengan pertengkaran mulut sebelum mangsa melibaskan ekor ikan pari ke arah suspek.
Berang dengan tindakan mangsa, suspek bertindak menikam lelaki itu dan mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas lebih 10 jam dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
