ADUN Sungai Sibuga meninggal dunia

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di sini, pada jam 11.20 malam Ahad.
Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah sebelum itu dimasukkan ke wad hospital berkenaan akibat serangan jantung.
Khabar duka itu dimaklumkan sendiri oleh pegawai khasnya, Azizul Nasry ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Azizul berkata, jenazah Mohamad Hamsan dibawa balik ke rumahnya di Taman Kong Lok, Sandakan untuk urusan pengebumian.
Katanya, jenazah akan dibawa ke Masjid Pangiran Batu 7 untuk solat jenazah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bintang Baru Rancangan Sungai Manila sebelum Zuhur.
"Jenazah dibawa pulang pada jam 2 pagi dari Kota Kinabalu ke Sandakan melalui jalan darat dan dijangka tiba sekitar jam 9 pagi.
"Sahabat handai boleh menziarah Allahyarham buat kali terakhir di Masjid Pangiran Batu 7," katanya.
Mohamad Hamsan, 65, dilantik sebagai ADUN selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!