PBT Kedah lancar aplikasi ‘Kedah Cashless’

ALOR SETAR - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah sedang mengorak langkah ke arah ‘Kedah Cashless’ apabila dua PBT kini dilengkapi aplikasi pintar untuk memudahkan orang ramai.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peralihan kepada sistem digital kini diterima sebagai norma dalam kalangan rakyat menyebabkan inisiatif tersebut diwujudkan.
Menurutnya, ia juga selaras dengan visi menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang lebih moden, progresif dan berinovasi.

“Zaman kini penggunaan tunai semakin dikurangkan, guna teknologi dalam kehidupan harian satu perubahan perlu kita hadap seiring dengan perkembangan dunia,” katanya kepada media selepas melancarkan aplikasi telefon FAST (Friendly And Smart Technology) Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Datuk Bandar MBAS, Datuk Mohd Yusri Md Daud.
Muhammad Sanusi berkata, inisiatif ke arah pendigitalisasi perkhidmatan awam ini wajar disambut baik oleh semua PBT di negeri ini.
“Sebelum ini aplikasi sama dilancarkan di Majlis Perbandaran Kulim, MBAS kedua, selepas ini Majlis Daerah Pendang.
“Kita lancarkan secara berasingan mengikut kawasan PBT kerana masing-masing miliki identiti berbeza dan ini antara usaha meningkatkan kutipan hasil untuk digunakan oleh pentadbiran PBT masing masing,” jelasnya.
Menurutnya lagi, pelancaran aplikasi telefon FAST bukan sahaja memperkenalkan inovasi dalam urusan bayaran, tetapi menggalakkan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
“Ia membolehkan orang ramai membuat bayaran dan semakan perkhidmatan MBAS.
“Turut ditawarkan menerusi aplikasi ini, maklumat berkaitan pelancongan Kedah bagi mempromosi Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025), antaranya lokasi pelancongan dan tempat-tempat menarik tumpuan ramai serta tempat makan minum di sekitar Bandaraya Alor Setar akan beri manfaat pengunjung dari luar Kedah,” katanya.
Muhammad Sanusi menjelaskan, aplikasi FAST bukan sahaja membolehkan orang ramai membuat bayaran cukai pintu, tetapi turut menyediakan kemudahan bayaran lain seperti sewaan gerai dan premis, bayaran lesen, bayaran kompaun serta pelbagai perkhidmatan lain.
“Semua transaksi kini boleh dilakukan melalui satu platform mudah, pantas dan efisien.
“Ini kerjasama antara kerajaan negeri, PBT dan sektor swasta dalam menghasilkan satu platform memberi impak positif kepada masyarakat dan bantu perbaiki sistem perkhidmatan di peringkat akar umbi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!