Laksana pembangunan terancang, jangan usir penduduk - Shafie Apdal

Mohd Shafie beramah mesra dengan pengunjung ketika melakukan tinjauan mesra di Tamu Jalan Gaya di Kota Kinabalu.
Mohd Shafie beramah mesra dengan pengunjung ketika melakukan tinjauan mesra di Tamu Jalan Gaya di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta kerajaan Sabah melaksanakan pembangunan terancang tanpa mengabaikan kebajikan penduduk di kawasan yang dibangunkan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, kerajaan seharusnya memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat jika sesuatu kawasan itu mahu dibangunkan.

"Saya lihat perkara ini cukup menyusahkan rakyat dan saya sudah suarakan berulang kali tentang bagaimana sekiranya ia adalah kawasan setinggan, walaupun bukan pemilik tanah di kawasan itu tetapi mereka adalah warga tempatan yang duduk di situ sejak berpuluh tahun.

"Kalau pun mereka telah diberikan tempoh atau notis untuk berpindah ke satu tempat, sediakanlah tempat untuk mereka berpindah kerana mereka mempunyai keluarga, ada anak yang mungkin bersekolah, ada isteri. Takkan mereka tinggal di tepi jalan raya.

"Kalau kita mempunyai rancangan untuk membangunkan suatu tempat, tapi sudah ada penghuninya sejak berpuluh tahun, selaku kerajaan, apa keutamaan kita, sama ada membangunkan negara, menjana keuntungan atau mengurus kehidupan rakyat? Ini yang kita mahu, supaya dapat diimbangi bukan hanya kejar pembangunan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Tamu Jalan Gaya, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berkaitan kawasan setinggan atau perumahan lama yang didiami penduduk yang diarah berpindah untuk pembangunan semula kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau juga berharap kerajaan ketika ini mengatasi masalah tersebut seperti yang pernah dilakukannya semasa menjadi ketua menteri dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Contoh macam dulu, di Kampung Ganang semasa saya ketua menteri, di situ hampir 2,000 lebih penduduk tetapi tanah itu dimiliki Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (Safoda) dan mahu diambil semula.

"Saya beritahu Safoda jangan ambil, beri pampasan. Selaku pimpinan kerajaan, kita ada tanah dan kita bagi pampasan. Jadi ini satu pendekatan yang saya yakin perlu diatasi oleh pihak kerajaan.

"Merata tempat berlaku, semalam saya dimaklumkan nak bina longkang di Sepanggar, mahu diroboh rumah mereka. Tidak masuk lagi Tanjung Aru dan Sembulan, bukan hanya di bandar-bandar tetapi di kawasan saya pun.

"Saya beritahu kalau nak membangun rancang dengan baik. Contohnya Kampung Air Samporna, mereka mahu bangunkan kerajaan tempatan, saya beritahu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam jangan usir mereka sediakan perumahan dulu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!